Sekarang Masanya.

 

Sedar.

Sedar.

Saya sendiri, seakan mahu menampar pipi berulang kali. Takut-takut ber’molar-molar’ gigi yang luruh. Sedar atau tidak, itu juga sebenarnya pilihan kita.

Kadang kita degil, tidak mahu sedar-sedar. Lalu Allah itu sangat sayang buat hamba-Nya, Dia sajikan beberapa ujian agar terjentik hati kita sedar dan mulakan perubahan dan terus ke hadapan.

Berangan dan punya cita-cita sahaja tidak cukup. Perlu ada perancangan. Setiap perancangan itu pula, memerlukan disiplin yang utuh. Supaya, tidaklah kita tenggelam dengan masa-masa emas kita, nampak jalan menuju cita-cita yang kita inginkan.

 

Buku Catatan Ayah.

Sejak kecil, saya akan perhatikan ayah. Apa sahaja yang dilakukan akan membuatkan saya terikut-ikut. Ayah seorang guru seni, daripada seni melukis hinggalah seni mempertahankan diri, dia adalah pakar pada saya. Buah-buah idea dalam percakapannya, nampak tersusun dan punya makna besar di dalamnya.

Ayah pernah berkata, kalau mahu merancang apa-apa, perlu ada catatan, sebagai perancangan, untuk memudahkan kita melaksanakannya, supaya tidaklah ianya hanya menjadi impian kosong.

Seperti ayah, saya juga selalu mencatat. Walau ayah tidak pernah tahu yang saya banyak mengikutnya, mungkin kerana selalu saja saya berjauhan dengan keluarga menuntut ilmu, saya telah lama punya catatan tersendiri dalam membina impian saya. Cumanya, segalanya saya lakarkan dahulu di buku catatan itu, dan tanya pendapat orang terdekat saya untuk impian itu.

 

Merancang.

Setiap angan,
perlukan perancangan.

Setiap perancangan,
perlukan disiplin penuh keiltizaman.

We toss the coin, 
God controls the decision. 

Kita hanya merancang,
Namun Allah jua sebaik-baik perancang.

Pada umur yang sudah pun mencapai awal 20-an, banyak perkara yang perlu kita fikir dan rancangkan, dari sekecil-kecil perkara hingga ke sebesar-besar perkara.

Kita perlu merancang dengan teliti dengan kehidupan kehidupan kita, supaya di sana nanti, kita diklasifikasikan sebagai seorang yang ikhlas berjuang untuk agama-Nya dan bermanfaat buat sekalian ummah.

عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم : (( مِنْ حُسْنِ
إِسْلاَمِ المَرْءِ تَرْآُهُ مَا لاَ یَعْنِيْهِ)) حدیث حسن رواه الترمذي وغيره هكذا

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullahi sallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda :
“Sebahagian daripada keelokan seorang mukmin ialah meninggalkan apa yang tidak berfaedah baginya.”
(Hadis ini Hadis Hasan, diriwayatkan oleh al-Tarmizi dan lain-lain sedemikian)

Para sahabat Rasulullahi sallallahu ‘alaihi wasallam, walau pada umur yang muda, mereka gencar menuju ke hadapan untuk mencari peluang dan berjuang. Kisah-kisah mereka seharusnya, menjadi inspirasi buat kita. Tetapi andai sirah nabawiyah kita masih culas untuk membaca dan pelajari, bagaimana mungkin kita mengikut mereka?

Usamah bin Zaid radhiyallahu ‘anhu yang menjadi jeneral untuk menentang Rom pada usia 18 tahun.

Kehebatan Mu’adz dan Mu’awwidz yang menumbangkan Abu Jahal di medan Badar sedangkan usia mereka ketika itu hanya sekitar 15 tahun.

Abdullah ibn Umar radhiyallahu ‘anhu yang telah duduk satu majlis ilmu  Rasulullahi sallalahu ‘alaihi wasallam dengan para sahabat yang jauh lebih tua.

Muhammad Al-Fateh, seorang yang hebat, yang telah membuka Konstantinopel kala berumur 21 tahun.

Tidakkah mereka yang patut kita contohi?

Kita, masing-masing punya harapan dan impian. Jangan mudah hilangkan itu semua. Rancang dan catatlah. Tetapi ingat, biarlah segala impian dan mimpi kita itu, ada manfaat yang boleh disumbangkan kembali kepada Islam.

Andai kita mahu jadi seorang doktor, jadilah seorang doktor bertaqwa, yang mampu mempimpin dan mengubati ummah yang kian tenat, luar dan dalam.

Andai mahu menjadi seorang ahli perniagaan, jadilah ahli perniagaan yang bertaqwa, yang mampu membina ekonomi umat Islam, dan seterusnya kembali menyumbang kepada ummah, seperti para sahabat radhiyallahu’anhum yang banyak mewaqafkan diri dan harta mereka.

Andai mahu jadi penulis, jadilah penulis yang bertaqwa, yang pada setiap tulisannya, mampu menembusi hati umat, mengingatkan kembali ummah kepada Sang Pencipta dan mampu mampu membina dan mengislah kepada umat Islam yang kian longlai dan lalai.

Rancang sekarang. Catat, dan azam untuk mewaqafkan diri untuk ummah. Walau dalam apa jua bidang yang kita ceburi, menjadi ustaz ustazah atau menjadi golongan professional, semuanya ada jalan jihad yang tersendiri.

dreams Sekarang Masanya.

Rancang, dan terus berusaha.

 

Bergerak Sekarang.

Terbaca catatan status seorang penulis dan pendakwah, Ustaz Zahiruddin Zabidi. Menarik, dan lontaran yang penuh isi.

“Bujang itu indah, kawan… jika kamu memahami dan menghargai….

Berkahwin itu indah, kawan… jika kamu memahami dan menghargai….

Tidak wajar si masih bujang cemburukan si sudah bernikah dan sebaliknya tidak wajar si sudah bernikah cemburukan si masih bujang.

Kerana sebaiknya, mereka menghargai dan bersabar dengan kelebihan dan cabaran tersebut, sesuai dengan diri masing-masing.

Cuma… jangan halang dirimu hai si masih bujang dan si sudah bernikah, daripada membaca buku-buku yang bagus khusus buku muktabar dalam ilmu Islam dan.ilmu tabi`i, dan hadir ke majlis-majlis ilmu yang padanya ada ramuan kemanisan kepada kebujanganmu dan kebernikahanmu itu.

Hidup tanpa membaca dan majlis ilmu bagaikan si lebah tanpa bunga, tanpa taman bunga… masakan dapat hasilkan madu, untuk kelangsungan diri sendiri aparah ummah semua….

Ingat si masih bujang dan si sudah berkahwin, itu sahaja madahku.”

 

Benar kata-katanya.

Semuanya telah ditentukan. Rezeki, jodoh, ajal, semuanya telah tertulis di Luh Mahfuz sana. Tiada apa yang perlu digusar dan dirisaukan. Hanya tidak boleh lupa untuk berikhtiar dan seterusnya bertawakkal.

Kadang-kadang, kita seolah tidak menghargai apa yang kita ada sekarang. Masa, juga berbeza-beza. Masa yang kita ada sekarang, tidak sama dengan masa yang kita akan hadapi selepas ini. Dalam masa yang kita tempuhi sekarang, bukanlah untuk kita mudah sia-siakan, tetapi untuk kita senantiasa memanfaatkan.

Pandang apa sahaja yang membawa manfaat, lakukannya dengan penuh tekun, Allah Ta’ala suka pada hamba yang membuat apa sahaja kerja dengan penuh kesungguhan.

Andai perkara yang kita lakukan itu tiada salahnya di sisi syarak dan membawa kebaikan, terus sahaja menuju ke hadapan, usah pedulikan apa yang orang lain katakan, jika ada kebaikan ambil, namun jika hanya sebuah cemuhan, abaikan. Lambat laun, sedikit demi sedikit orang yang mencemuh itu akan sedar, betapa mereka tidak mampu mencapai apa yang kita capai, hanya menghabiskan masa dengan mencemuh orang. Tidak langsung bergerak ke hadapan.

Hidup kita, bukanlah mahu mencapai redha manusia, tetapi yang lebih penting, redha Yang Maha Esa.

Ada yang bertanya mahu bermula bila?

Mudah.

Jawapannya, sekarang!

Hanya itu jawapannya. Orang yang berjaya, jarang bertangguh.

 

9 41 Sekarang Masanya.

“Pergilah kamu (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”
(At-Taubah 9:41)

 

Wallahua’alam.

 

Muhammad Iqbal,
El-Abbasiyah, Cairo, Egypt.
9 Zulhijjah 1434 / 14.10.2013
2.18 a.m

 

 

If you enjoyed this post, please consider leaving a comment or subscribing to the RSS feed to have future articles delivered to your feed reader.

Comments

  1. By yui92

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge